Bila kita sebut usaha, pasti ramai yang mengukur kadar usaha itu dengan kejayaannya. Kalau dia berjaya dengan cemerlang, maka manusia akan menyatakan bahawa dia itu berusaha bersungguh-sungguh. Kalau dia tidak berjaya, maka manusia akan menyatakan bahawa dia itu tidak berusaha bersungguh-sungguh. Ini kebiasaan mentaliti insan.
Tetapi saya berpendapat, usaha tidak berkadar terus dengan hasil. Usaha adalah satu perkara lain, dan hasil itu adalah satu perkara lain.
Kenapa?
Sebab usaha di tangan kita, tetapi hasil tetap di tangan Allah SWT.
Sebahagian manusia, ada yang faham akan hal ini. Tetapi mereka berkata pula:
"Kalau macam itu, tak payah usaha. Semua Allah dah susun"
Em… Betul ke?
Saya setuju bahagian yang Allah susun itu. Tapi bahagian `tak payah usaha' itu, saya tak setuju.
Sesungguhnya, orang beriman itu amat dikasihi oleh Allah SWT. Kenapa?
Kerana keimanan mereka telah mendekatkan jarak mereka dengan Allah SWT. Orang yang beriman, dia sentiasa yakin kepada Allah SWT, dia sentiasa bersangka baik, dia tidak akan sesekali menyangka bahawa Allah SWT itu menzaliminya.
Jadi, apabila Allah SWT mengarahkannya untuk berusaha, maka orang beriman akan berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam lapangan pekerjaannya. Tanpa, meletakkan natijah sebagai matlamat utamanya.
Ada perbezaan antara dua manusia ini:
1. Kenapa studi? "Saya studi sebab nak dapat 11 A1"
2. Kenapa studi? "Saya studi sebab Allah suruh, dan belajar itu difardhukan di dalam Islam"
Bagi orang 1, apabila dia tidak mendapat 11 A1, dia akan menghadapi satu kejatuhan. Dia merasakan dia tidak berjaya. Dia merasakan usahanya selama ini adalah sia-sia.n Secara tidak langsung, sedih akan menyentuhnya.
Tetapi, bagi orang 2, jika dia menyebutnya dalam keadaan dia faham dan beriman, keputusan apa pun yang dia dapat, dia tetap akan tenang dan bersangka baik kepada Allah SWT. Berbelas/berpuluh A bukan matlamatnya studi, tetapi dia studi kerana itu adalah tanggungjawabnya sebagai hamba kepada Allah SWT. Maka, hasil di akhir usahanya, itu semua adalah pemberian Allah SWT. Dan dia tahu, Allah SWT itu tahu apa yang terbaik untuk hamba-hamba- Nya, dan Allah SWT itu tidak akan sesekali menzalimi hamba-hamba- Nya. Tidak akan ada kekecewaan dalam kehidupannya.
Itu contoh rekaan saya. Saya hendak mengajak anda melihat beberapa figur dalam kehidupan manusia, yang menjadi contoh kepada analogi orang 2 saya.
Kita lihat Utusan Allah SWT Nuh AS dan Rasulullah SAW. Mereka berdua ini, ada persamaan dalam kekuatan penyebaran agama Allah SWT kepada ummah.
Nabi Nuh AS menyebarkan dakwah 950 tahun tanpa jemu, dan Rasulullah SAW pula menyebarkan dakwah tanpa henti-henti walaupun diancam, diseksa, ditekan dari pelbagai arah.
Kalau kita perhatikan, dari manakah sumber kekuatan mereka untuk berusaha?
Iman. Kekuatan para Nabi adalah keimanan mereka yang tinggi. Keimanan ini yang tidak menggugah dan tidak menggoncangkan pendirian mereka.
Mereka faham bahawa, tugas mereka adalah menyampaikan, bukannya memberikan hidayah. Memberikan hidayah adalah urusan Allah SWT. Tanggungjawab mereka adalah menyampaikan amanah Allah, dan mentarbiyah insan. Sebab itu, mereka tidak mengalah apabila manusia menjauhkan diri dari mereka, memusuhi mereka, dan berusaha membunuh mereka.
Nabi Nuh tidak menyatakan usahanya selama 950 tahun itu sia-sia hanya kerana, dalam 950 tahun itu, 83 orang sahaja mengikutinya. Dia telah menjalankan tugasnya. 83 itu adalah natijah yang Allah SWT berikan kepadanya. Dan itulah yang terbaik. Kenapa terbaik? Kerana ia datang daripada Allah SWT.
Orang biasa, mungkin akan melihat angka 1000 itu lebih baik dari 83. Tetapi apalah ukuran manusia jika hendak dibandingkan dengan ukuran Allah SWT? Allah SWT Maha Tahu dan kita adalah hamba-Nya. Kita beriman kepada Allah SWT, dan segala natijah yang diberikan oleh Allah itu kita redhai. Kerna kita tahu bahawa Allah SWT tidak akan menzalimi kita, dan kita yakin Allah SWT itu Maha Tahu akan segala hal, baik dan buruknya.
Rasulullah SAW pula tidak berputus asa pada awal period dakwahnya yang sukar. Dia tidak mengalah selepas dibaling batu di Taif. Dia tidak pula rasa ralat dengan keadaan keluarganya dari Bani Hasyim, bani Quraisy, penduduk Makkah yang memusuhinya hanya kerana dia membawa agama Allah SWT. Hal ini kerana, Rasulullah SAW faham bahawa tanggungjawabnya adalah berusaha. Natijah adalah daripada Allah SWT.
Sebab itu, Rasulullah SAW mampu menerima pemergian Abu Talib dalam keadaan tidak beriman kepada Allah SWT. Kesedihannya, bukan kerana dia tidak redha kepada Allah SWT yang menarik Abu Talib dalam keadaan tidak beriman. Kesedihannya ketika pemergian Abu Talib itu, adalah kerana baginda sesalkan yang Abu Talib tidak akan ada sesiapa mampu membelanya di hari kiamat nanti. Sebab itu Rasulullah SAW berkata kepada Abu Talib dengan kata-kata yang sebegini:
"Wahai bapa saudaraku, katakanlah satu kalimah yang membolehkan aku membelamu di hari akhirat nanti. Katakanlah Lailahaillah"
Baginda tidak berkata: "Masuklah Islam wahai bapa saudaraku, atau selama ini usahaku kepadamu adalah sia-sia"
Tiada usaha yang sia-sia, apabila kita menggerakkan diri kita untuk berusaha. Segala usaha dikira oleh Allah SWT. Natijah, itu adalah hadiah daripada Allah SWT untuk kita. Apa pun natijah yang Allah berikan, itu adalah yang terbaik untuk kita.
Sebab itu, kita lihat pula akan beberapa tokoh yang hidup sezaman dengan kita.
As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin, pengasas Hamas yang dibom oleh helikopter Apache di Palestin pada tahun 2004. Adakah kematiannya, tanpa melihat Palestin itu dibebaskan, membuatkan usahanya selama ini adalah sia-sia?
Pada saya, tidak. Dia telah berusaha. Natijah yang Allah berikan kepadanya adalah, dia tidak mampu melihat Palestin itu dibebaskan pada masa kehidupannya. Dia ditakdirkan Allah, pergi dahulu. Namun As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin telah menyelesaikan tanggungjawabnya. Yakni berusaha.
Kita lihat pula As-Syahid Imam Hassan Al-Banna. Beliau membawa gagasan untuk mengembalikan Daulah Islamiyyah, dengan bermula atas jalan dakwah dan tarbiyah. Beliau akhirnya mati ditembak oleh manusia-manusia yang berhati busuk, tidak mahu daulah Islamiyyah itu menjadi realiti. Adakah kematiannya, tanpa melihat daulah Islamiyyah itu menjadi realiti, membuatkan usahanya sebelum itu adalah sia-sia?
Pada saya tidak. Dia telah berusaha. Natijah yang Allah berikan kepadanya adalah dia tidak mampu melihat daulah islamiyyah itu terbina semasa hidupnya. Dia ditakdirkan Allah, pergi dahulu. Namun, Imam Hassan Al-Banna telah menyelesaikan tanggungjawabnya. Yakni berusaha.
Dua tokoh ini, mereka berusaha. Namun mati sebelum hajatnya menjadi realiti. Apakah, mereka kecewa? Saya tak rasa mereka kecewa. Sebab saya nampak, kedua-dua tokoh ini adalah amat yakin bahawa natijah itu datang daripada Allah SWT. Saya yakin mereka bukan mengambil analogi orang 1 dengan berkata:
"Saya membina Hamas, kerana hendak membebaskan Palestin"
"Saya membina Ikhawanul Muslimin, kerana hendak membina daulah Islamiyyah"
Tidak. Ada kemungkinan Hamas dan Ikhwanul Muslimin akan hancur.
Tapi mereka ini sebenarnya, mengambil analogi orang 2.
"Hamas adalah usaha saya, ke arah membebaskan Palestin. Saya hendak membebaskan Palestin, kerna Palestin itu adalah satu tuntutan dan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah"
"Ikhwanul Muslimin adalah satu bentuk usaha, ke arah pembinaan daulah islamiyyah. Daulan Islamiyyah ini perlu dibina, kerna ia adalah satu tuntutan Allah SWT, agar manusia boleh hidup mengangkat perintah-Nya, dan meninggalkan larangan-Nya"
Kita telah melihat hari ini, Hamas dan Ikhwanul Muslimin, hidup di merata dunia, dengan pelbagai nama. Sebenarnya, manusia tidak nampak Hamas atau Ikhwanul Muslimin sebagai matlamat. Tetapi mereka nampak hala tuju yang dibawa oleh dua organisasi ini, yakni mengembalikan manusia, sistem hidup itu, ke arah yang Allah redha, membuatkan manusia juga bergerak ke arah yang sama. Dan kalau anda hendak tahu, Hamas itu pun datangnya dari Ikhwanul Muslimin.
Dua manusia ini, semasa kehidupan mereka, bergerak melakukan sesuatu yang mereka mampu. Yakni usaha. Mereka melangsaikan tanggungjawab mereka untuk Allah memberikan natijah, yakni usaha.
Kalau mereka ini tidak berusaha? Kalau Syeikh Ahmad Yassin tidak mengasaskan Hamas? Kalau Hassan Al-Banna tidak mengasaskan Ikhwanul Muslimin? Adakah anda merasakan bahawa dunia hari ini akan jadi sebegini? Adakah anda merasakan Palestin akan bertahan sehingga hari ini? Adakah anda merasakan, tatacara hidup Islam itu akan diterima ramai seperti hari ini?
Sebab itu saya yakin, di ambang kematian dua tokoh ini, mereka tersenyum gembira. Kenapa? Kerna usaha mereka disambung orang lain, mereka ada pewaris, mereka ada pelapis. Mereka telah menyelesaikan tanggungjawab mereka, yakni berusaha. Natijah seterusnya adalah urusan Allah SWT.
Usaha mereka tidak sia-sia. Tiada usaha yang sia-sia. Cuma susunan Allah SWT itu juga yang terbaik. Kita manusia, tugasnya berusaha sahaja. Natijah, kita serahkan kepada Allah SWT bulat-bulat, dan segala apa yang Allah berikan kepada kita, adalah yang terbaik.
Kenapa? Kerna kita beriman kepada Allah SWT, dan amat yakin Dia tidak akan mengecewakan kita.
Justeru, apakah anda masih merasa malas untuk berusaha?
Berusaha mencapai kecemerlangan, berusaha mencapai yang terbaik, berusaha menjadi hamba Allah SWT yang terbaik, adakah anda masih merasa malas?
Tahukah bila seseorang manusia itu boleh berhenti berusaha?
Selepas dia mati.
Ps: teringat kata-kata seorang manusia: "Mati dalam keadaan berusaha, lagi bagus dari mati tak buat apa-apa"
0 comments:
Post a Comment